Wednesday, April 28, 2010

Telor Kicap Ibu


Petang itu setelah selesai berprogram dengan staf TH Plantations Bhd di Seri Pengantin, Janda Baik, Pahang, aku terus memandu keretaku menuju ke kampung halamanku, Jerantut Pahang, tempat di mana aku dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh kedua ibu bapaku. Rasa tidak sabar untuk menemui ibu dan bapaku yang telah sebulan tidak aku temui. Memang kebiasaannya, sekurang-kurangnya sebulan sekali aku akan wajibkan diriku untuk pulang menemui ibu bapaku setelah aku berjauhan di negeri orang mencari rezeki. Dalam pemanduanku, sempat aku memasang CD ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Kazim Al-Hafis mengenai Akhlak Yang Baik. Cara penyampaiannya yang menarik menyebabkan aku begitu berminat kepada isi dan cara penyampaiannya dan aku telah mengumpul banyak siri-siri kuliah yang disampaikan olehnya. Perjalananku untuk sampai ke Jerantut memakan masa selama 2 jam lebih dan sempat aku mendengar 2 kali ceramah yang sama yang disampaikan oleh Ustaz Kazim. Alhamdulilah, banyak peringatan-peringatan dan input yang berguna yang aku perolehi dan akan ku cuba praktikkan dalam kehidupanku.

Aku tiba di bandar Jerantut setelah 2 jam aku memandu sendirian dan aku bercadang untuk berhenti seketika di bandar Jerantut untuk membeli buah tangan untuk ibu bapa dan adik-adikku. Aku singgah di medan selera yang menjadi kebiasaanku sewaktu aku masih di bangku sekolah, tempat makan yang biasa dibawa oleh ayahku. Terkenang aku nostalgia lalu kami sekeluarga makan bersama di tempat itu sambil berborak-borak berkenaan keluarga kami. Aku tidak dapat lupakan kebaikan yang ayahku berikan kepada kami semua dan akan ku balas segala pengorbanannya pada kami.

Aku singgah di sebuah gerai yang menjual ‘sate’ tempatan Jerantut. Aku lihat seorang pakcik tua yang dibantu oleh seorang anak kecil yang tidak jemu menolong pakcik tersebut. Mungkin anak kecil itu adalah anak kepada pakcik tersebut. Aku terus mendekati pakcik tersebut yang mana pada ketika itu telah ada beberapa orang pelanggan yang setia menanti tempahan mereka. Aku terus membuat tempahan kepada pakcik tersebut,”Em, pakcik, saya nak tempah 30 cucuk sate, 15 ayam dan 15 daging, agak-agak ada lagi tak untuk saya?”tanyaku pada pakcik tersebut. Pakcik tersebut tersenyum sambil menjawab,”Ada”. Aku terus mencari tempat duduk berhampiran dengan gerai tersebut sambil melihat gelagat pelanggan-pelanggan yang mengunjungi restoran yang berdekatan. Dalam suasana dingin malam tersebut, hujan mulai turun. Aku terus bangun dari tempatku dan mencari perlindungan di bawah atap restoran berhampiran dan menumpang duduk seketika di situ. Sambil terus menunggu ‘sate’ yang aku tempah siap dimasak, aku terus memerhatikan gelagat anak kecil yang setia membantu pakcik tersebut. Dalam hatiku terdetik rasa terharu pada anak kecil itu yang aku rasakan anak kepada pakcik tersebut, setia menolong bapanya walaupun di usia sekecil itu ramai anak-anak kecil yang lain pada ketika ini sedang sibuk bermain dengan PS3 atau video game di rumah mereka. Tetapi, anak kecil itu ku lihat lebih matang daripada anak kecil yang lain dan aku begitu yakin pasti bila mana dia telah dewasa kelak, dia akan menjadi seorang anak yang baik kepada kedua ibu bapanya.

Hujan semakin lebat membasahi pada malam itu. Aku lihat ‘sate’ ku hamper siap kerana semua pelanggan yang mendahuluiku telah mendapat tempahan mereka . Aku cuba menghampiri pakcik itu sekadar untuk berbual dengannya. Aku lihat, anak kecil yang setia menolong pakcik itu membawa begnya dan meredah hujan malam itu. Mungkin dia ingin pergi tuisyen, bisik hatiku. Aku mendekati pakcik itu yang sedang sibuk membakar ‘sate’ sambil aku bertanya,”Em, pakcik, biasanya satu malam berapa cucuk ‘sate’ yang pakcik dapat jual?” tanyaku spontan sekadar ingin mengetahui.”Biasannya kalau malam-malam biasa dalam 700 cucuk, tak sampai seribu. Tapi kalau malam minggu, Alhamdulillah boleh cecah seribu lebih satu malam,”ujar pakcik tersebut sambil terus membakar ‘sate’ tersebut. Oh, banyak juga jualan pakcik ni, boleh tahan. Sememangnya aku juga begitu berminat dalam bidang perniagaan. Sebelum ini, aku sudah membuat beberapa perniagaan tetapi semuanya tidak Berjaya. Mungkin aku tidak ada ‘bakat’ dalam perniagaan menyebabkan aku tidak Berjaya. Tetapi, aku yakin, satu hari nanti, aku akan cuba buktikan bahawa aku juga mampu ke hadapan dalam dunia perniagaan. Aku terus bertanya kepada pakcik itu,”Em pakcik, biasanya kalau 700 cucuk, berapa ekor ayam yang pakcik gunakan?” soalku seakan seorang pegawai penyiasat. Pakcik itu tidak jemu melayan persoalanku walaupun dia sibuk dengan kerjanya,”Em, kalau 700 cucuk, biasanya pakcik guna 15 ekor ayam,”jawab pakcik tersebut sambil tersenyum. Otakku laju mencongak jumlah untung yang diperolehi oleh pakcik tersebut. Aku cuba mencongak jumlah keuntungan yang akan diperolehi oleh pakcik tersebut. Wah, kalau ditolak dengan kos-kos bahan mentah, pakcik ni boleh dapat dalam RM100 bersih satu malam. Satu pendapatan yang aku kira besar juga bagiku. Inilah rezeki yang dikatakan oleh Rasulullah iaitu 9 per 10 punca rezeki adalah daripada perniagaan. Dalam sebulan pakcik ini boleh mendapat RM3 ribu ke RM4 ribu. Alhamdulillah, mungkin ini rezeki bagi pakcik itu. Mungkin sesetengah orang melihat pekerjaan pakcik ini tidak berbaloi dan tiada ‘standard’, tetapi pada hakikatnya mereka salah menilai seseorang. Ramai mereka yang bekerja di Bandar-bandar besar yang mempunyai ‘standard’ dan pangkat serta bergaji besar, mereka merasakan pekerjaan seperti pakcik tersebut tidak dipandang tinggi dan dipandang ‘lekeh’ oleh orang-orang seperti mereka. Tetapi, pada hakikatnya, ramai antara golongan mereka yang mempunyai ‘standard’ pekerjaan, tetapi hutang keliling pinggang dan juga tidak mempunyai simpanan. Itulah persoalan ‘survivor’ kehidupan, soal rezeki bukan dilihat kepada ‘banyaknya’ duit yang dapat, tetapi dilihat kepada ‘berkat’ yang kita perolehi walaupun sedikit duit atau gaji yang kita perolehi. Pakcik inilah insan yang ‘biasa’ pada pandangan manusia tetapi pada hakikatnya ‘luar biasa’.

Pakcik itu terus membungkuskan ‘sate’ aku yang telah siap dibakar dan aku terus membayar RM17 kepada pakcik tersebut. Pakcik itu memandangku dengan senyuman ikhlas dan dalam hatiku berbisik, zaman ini susah untuk berjumpa orang seperti pakcik ini, baik akhlaknya dan begitu merendah diri kepada orang lain. Aku terus berlari meredah hujan lebat yang mendinginkan suasana malam itu untuk mendapatkan keretaku. Aku terus memandu berhati-hati menyusuri kepekatan malam itu mengikuti jalan-jalan kampung yang tidak mempunyai lampu jalan, takut-takut aku akan bertembung dengan kerbau-kerbau ‘jalanan’ yang suka ‘berusrah’ di atas jalan, maklumlah jalan kampung.

Aku tiba di rumah ibu bapaku setelah hampir 20 minit daripada bandar Jerantut. Aku lihat lampu depan rumahku terpasang dan aku lihat kelibat ibuku membuka pintu rumah. Aku lihat adikku yang paling bongsu sempat memanggil namaku, ‘abang ngah’, itulah gelaran bagiku kerana aku merupakan anak kedua dalam keluargaku. Aku membawa begku menaiki tangga rumahku dan aku terus mencium tangan ibuku dan mengucup wajah ibuku dengan mesra. Tangan ibuku inilah yang setiap hari bila mana aku dilahirkan sehingga aku dewasa kini, tidak pernah berehat memberikan khidmat dan kasih sayangnya dan tidak pernah terungkap dibibirku perkataan ‘jemu’ dalam mendidik aku dan adik-adikku sehingga kami dewasa kini. Adik-adikku juga bersalam denganku tanda hormat mereka sebagai adik kepadaku. Ayahku tiada di rumah malam itu kerana menghantar adikku pergi ke kelas tambahan. Kami terus masuk ke rumah dan aku meletakkan begku ke dalam bilikku. Ibu mengajak aku makan di dapur kerana nasi dan lauk sudah tersedia, cuma lauk dah tinggal sedikit sebab adik-adikku semuanya telah makan. Oleh kerana ibu melihat lauk tidak cukup untukku, ibu terus bertanya kepadaku,”Nak telor goring kicap tak?” soal ibuku terlihat keikhlasan seorang ibu,”Em, boleh juga, dah lama tak makan telor kicap mak,”jawabku sambil melemparkan senyuman kepada ibuku. Ibuku terus sahaja menggoreng telor kicap untukku. Setelah siap menggoreng, ibuku menghidangkannya untukku lantas aku mempelawa ibuku makan sekali. Kebetulan ibuku juga telah selesai makan dengan adik-adikku. Aku makan nasi pada malam itu dengan penuh selera sekali dan aku begitu hairan kenapa selama ini aku juga masak telor goreng yang sama tetapi tidak sesedap ibuku masakkan. Aku teringat kata-kata guruku, beliau mengatakan, masakan air tangan ibu lebih sedap berbanding masakan di kedai kerana ibu memasak dengan ‘kasih sayang’ dan itulah rahsia kasih seorang ibu. Kami sekeluarga berbual mesra pada malam itu dan aku dapt rasakan kasih sayang dari ibu bapaku. Semoga kami sekeluarga dapat terus berbahagia dalam erti kehidupan sebenar ‘memberi dengan kasih sayang’.

Sayang Anak Tangan-tangankan.


Malam itu kebetulan semasa aku berada di kampungku, sekolah adikku menganjurkan satu program solat hajat untuk para pelajar darjah 6 yang bakal menghadapi UPSR tidak berapa lama lagi. Aku diajak oleh ayahku untuk pergi sekali ke program tersebut dan aku tidak segan untuk menolak pelawaan tersebut kerana aku memang berminat dengan program-program sedemikian. Malam itu, aku, ayahku dan adikku bertolak ke sekolah adikku sebelum magrib.

Kami tiba di sekolah adikku tepat pada masanya iaitu ketika mana azan magrib sedang berkumandang. Kami bergegas-gegas ke surau dan pada ketika itu aku lihat ramai ibu bapa kepada anak-anaknya datang pada masa yang sama membawa anak mereka ke surau. Aku dan ayahku masuk ke surau sekolah dan aku lihat belum ramai lagi ibu bapa yang sampai. Aku dapat lihat beberapa orang guru yang aku kenal antaranya cikgu Roslan, cikgu Mat dan lain-lain. Aku kenal mereka kerana aku juga pernah bersekolah di situ pada suatu masa dahulu. Aku sempat bersalam dengan cikgu Roslan sambil menunggu ibu bapa yang lain tiba.

Tidak beberapa lama kemudian, seorang pelajar bangun untuk iqamah dan kami terus bangun. Kami diimamkan oleh ustaz sekolah berkenaan dan kami solat magrib secara berjemaah. Sesudah selesai kami semua menunaikan solat magrib, ustaz berkenaan (dah lupa namanya) bangun untuk memberikan taklimat mengenai program selepas ini. Dia memberitahu bahawa sebentar lagi kita sama-sama akan menunaikan solat sunat hajat. Selepas itu, semua ibu bapa dan para pelajar dijemput untuk menjamu selera di kantin sekolah. Selepas selesai menjamu selera, semua ibu bapa dan para pelajar dijemput ke dewan Ariffin di Pejabat Pelajaran Daerah (bersebelahan dengan sekolah) untuk mendengar ceramah motivasi yang akan disampaikan oleh ustaz Rujhan Razali. Beliau memang tidak asing bagiku kerana beliau juga salah seorang fasilitator dalam syarikat kami. Tiba-tiba, ustaz itu menjemput aku untuk mengimamkan solat hajat, terkejut juga aku dibuatnya kerana tanpa perancangan dia menjemputku untuk mengimamkan solat. Aku tanpa berlengah bangun untuk mengimamkan solat walaupun masih ada perasaan terkejut tersebut, aku gagahkan diri untuk mengimamkan solat. Setelah selesai solat, kami sama-sama berdoa memohon agar adik-adik pelajar darjah 6 dapat menjawab soalan peperiksaan nanti dengan jayanya. Selepas itu kami bersalam-salaman dan kami semua bergerak menuju ke kantin sekolah untuk menjamu selera.

Sesudah selesai menjamu selera, kami semua bergerak ke dewan Ariffin untuk mengikuti sesi seterusnya iaitu ceramah motivasi yang akan disampaikan oleh ustaz Rujhan. Setibanya aku ke dewan tersebut, aku bersalaman mesra dengan ustaz Rujhan kerana sudah lama kami tidak bertemu dek kesibukan ustaz Rujhan yang penuh masanya menghadiri jemputan-jemputan ceramah di sana sini. Maklumla, dia sekarang dah terkenal bukan sahaja di negeri Pahang, malah setiap negeri bila disebutkan namanya, pasti ada yang mengenalinya. Aku mengambil tempat di dalam dewan dan semua pelajar-pelajar darjah 6 diminta duduk bersebelahan dengan ibu bapa mereka. Aku sempat melihat gelagat adik-adik darjah 6 ini duduk bersebelahan dengan ibu bapa mereka. Nampak kemesraan yang tercermin di wajah kedua-dua insan yang sememangnya akrab dalam kekeluargaan.

Aku mendengar dengan tekun setiap isi penyampaian oleh ustaz Rujhan. Memang menarik dan tak kering gusi dibuatnya bila penyampaiannya diselitkan dengan lawak-lawak santai menceriakan suasana. Walaupun terdapat dua golongan iaitu golongan anak-anak dan satu lagi golongan ibu bapa, ustaz Rujhan memang pandai menawan hati kedua-dua golongan ini untuk terus memberikan perhatian kepada ceramah beliau. Tidak hairanlah beliau sekarang memang ‘famous’ kerana penyampaian beliau yang cukup menarik. Aku tertarik kepada satu bahagian dalam penyampain beliau berkenaan satu topic yang agak unik iaitu ‘Sayang anak tangan-tangankan…’. Walaupun nampak seperti biasa tetapi ustaz Rujhan menyampaikannya dalam dimensi yang lain. Biasanya, masyarakat faham bila mana pepatah Melayu ini digunakan, maksudnya kalau sayang anak tangan-tangankan ialah merotan atau memukul anak. Maka, ramailah dikalangan ibu bapa hari ini yang menggunakan pepatah ini dalam kehidupan mereka sehinggakan kita melihat ramai dikalangan anak-anak yang dipukul oleh ibu bapa mereka sehingga cedera. Ada yang lebih malang lagi, baru-baru ini, tersiar di berita mengenai kematian seorang budak yang berumur 3 tahun akibat didera oleh ayah tirinya. Masyallah, kenapa semua ini boleh berlaku? Adakah kerana mereka terlalu sayangkan anak mereka dan tidak mentafsirkan secara tepat pepatah Melayu ini sehinggakan mereka tidak menyedari atas perbuatan mereka? Inilah yang aku rasakan bahawa perlu ada jalan penyelesaiannya agar tidak akan berulang tragedy yang sama.

Sayangkan anak tangan-tangankan, begitulah tajuknya. Ustaz Rujhan memberikan maksud iaitu beliau mengajak semua ibu bapa melihat perkataan ‘tangan’ itu diterjemahkan mengikut pandangan Islam. Apa yang dimakdsudkan dalam Islam ialah tangan bererti apa yang boleh dilakukan oleh tangan antaranya menyediakan keperluan makan minum anak-anak. Tugas yang utama oleh ibu bapa ialah menyediakan makan minum secukupnya kepada anak-anak. Tidak hairanlah pada hari ini kita lihat ibu bapa melaksanakan tanggungjawab mereka untuk menyediakan makan minum anak-anak mereka. Tetapi malangnya, sumber rezeki yang mereka perolehi dicelahi dengan sumber-sumber yang haram antaranya mengambil hak orang lain, rezeki atau gaji yang diperolehi dicelahi dengan sumber haram iaitu ada dikalangan ibu bapa yang ‘mencuri’ masa ketika melaksanakan kerja dan banyak lagi perbuatan yang mana halal pekerjaannya namun dicelahi dengan perkara yang haram.

Maksud kedua iaitu tangan itu sentiasa membelai anak-anak. Maksud membelai anak-anak ialah memberikan kasih saying yang secukupnya kepada anak-anak bukan sahaja dalam aspek didikan tetapi juga dari aspek perhatian. Ramai ibu bapa pada hari ini memandang remeh berkenaan perkara ini. Ada dikalangan ibu bapa yang tidak mahu melayan apa sahaja yang ingin ditunjukkan oleh anak-anak mereka mengenai prestasi sekolah mereka menyebabkan anak-anak kecewa dan memendam rasa. Perkara ini sekiranya tidak dibendung akan menyebabkan anak-anak bila mana mereka besar nanti tidak akan rapat dengan ibu bapa mereka lantaran ibu bapa mereka tidak cuba mendekati dan melayani perasaan mereka ketika mana mereka kecil. Mereka juga memerlukan pengisian emosi yang cukup daripada ibu bapa mereka iaitu bukan sekadar ibu bapa mengisi keperluan jasmani mereka.

Wednesday, April 14, 2010

Pelajar Calar Kereta Cikgu?


Pagi itu,aku memandu kereta ingin ke pejabat. Sambil itu,aku membuka radio kegemaranku iaitu IKIM FM sebagai halwa telinga. Biasanya pukul 8.30 pagi akan ada siaran mengenai Forum Rakyat. Aku begitu tertarik dengan rancangan ini kerana ia membicarakan mengenai hal-hal semasa dan terkini. Pagi itu,tajuk perbincangan mengenai 'Pelajar simbah cat & calar kereta guru'. Satu tajuk yang begitu menarik yang diperbincangkan. Aku cuba mendengar luahan dan pandangan oleh setiap pemanggil yang cuba memberikan pandangan mereka. Ada dikalangan mereka yang memanggil dan menyatakan mereka adalah seorang guru. Dalam panggilan tersebut,memang terdengar suara kekecewaan seorang guru terhadap apa yang dilakukan oleh anak muridnya yang tidak mengenang jasa guru tersebut yang telah bersusah-payah mengajar mereka. Aku juga turut merasai kekecewaan yang dirasai oleh guru tersebut, namun bukan itu yang aku ingin tumpukan. Tiada satu pun pemanggil yang cuba memberikan 'penyelesaian' kepada permasalahan ini. Semuanya cuba memberikan gambaran mengenai kesalahan yang dilakukan tetapi tidak cuba pergi kepada penyelesaiannya.

Sambil memandu,aku cuba memahami permasalahan yang cuba diselesaikan. Namun,aku yakin,segala permasalahan pasti akan ada penyelesaiannya. Aku teringat satu kata-kata bijak pandai dalam menguruskan masalah iaitu 'Kita perlu lihat kepada 'the real problem not the presenting problem'.Inilah kata kunci yang cukup mendalam maksudnya tetapi begitu tepat maksudnya.Apa yang cuba dibawa oleh ahli bijak pandai tersebut ialah,kita tidak perlu melihat kepada masalah yang telah timbul kerana itu adalah 'hasil' atau tindakan yang dilakukan,namun kita perlu melihat kepada masalah sebenarnya. Apakah masalah sebenarnya? Ya,masalah sebenarnya ialah kita lihat kepada diri manusia. Dalam diri manusia,terdapat 3 unsur yang mengawal tindakan seseorang iaitu yang pertama hati, yang kedua akal dan yang ketiga ialah nafsu. Di antara ketiga-tiga unsur tersebut, hati adalah yang paling penting kerana hatilah yang akan membuat tindakan. Hati ibarat raja dalam pemerintahan, akal ibarat penasihat/bendahara dan nafsu ialah penjahat kepada diri. Namun,perlu diingat,sekiranya raja dinasihati oleh penasihat yang baik,maka tindakannya juga akan baik,tetapi sekiranya penasihatnya tidak menasihati dengan baik,maka raja/atau tersebut akan membuat tindakan yang tidak baik.Oleh hal yang demikian,walaupun hati membuat tindakan,hati akan bertindak daripada nasihat akal. Maka dari mana akal mendapat maklumat. Ya,jika kita lihat pada hari ini,di media massa seperti televisyen,internet,media cetak banyak memaparkan atau menghidangkan suatu yang bleh merosakkan pemikiran golongan remaja masa kini.Budaya hedonisme atau hiburan terlampau telah meracuni generasi muda masa kini. Tidak hairanlah mengapa anak muda masa kini bertidak di luar batasan kerana persekitarannya dihidangkan dengan unsur-unsur negatif yang telah meracuni pemikiran mereka.Itulah punca permasalahan yang perlu kita lihat dan tangani sekiranya kita ingin menyelesaikan permasalahan ini.

Teringat aku pada sirah para sahabat ketika mana Islam belum sampai di Kota Mekkah.Umat manusia ketika itu terlalu rosak dan tidak mempunyai cara hidup yang sempurna.Arak ibarat minuman harian,bunuh anak adalah perkara adat dalam masyarakat jahliah ketika itu. Namun,apabila Rasulullah s.a.w yang telah diutuskan oleh Allah s.w.t kepada manusia ketika itu,satu sinar baru yang telah dibawa kepada masyarakat jahiliah ketika itu.Apakah kunci utama yang menyebabkan masyarakat jahiliah ketika itu boleh menukar cara hidup jahiliah kepada cara hidup Islam. Ya,jawapannya ialah,Rasulullah telah datang kepada umat manusia untuk membeikan sinar kepada hati-hati yang gersang.Rasulullah datang membawa kalam Allah dan menyinari seluruh alam dan isinya.Itulah kunci utama bagaimana Rasulullah boleh mengubah Omar Al-Khattab sebelum Islam yang dikenali dengan kekerasannya sehinggakan sanggup menanam hidup-hidup anaknya, tetapi apabila sinar Islam telah menyerap ke hatinya,segalanya berubah atas hidayah Allah s.w.t.

Jadi pada pagi itu,aku telah mendapat satu kesimpulan bagi penyelesaian permasalahan yang sedang melanda generasi muda pada masa kini ialah kita semua sama ada pihak ibubapa,guru-guru,masyarakat dan pemimpin sama-sama kita mengisi hati generasi muda masa kini dengan 'pengisian hati' yang mana hati juga perlu diberi makan sepertimana tubuh badan memerlukan makanan. Sekiranya hati telah mati, maka nur hidayah tidak akan dapat meresap ke dalam jiwa dan akan membentuk generasi yang telah sesat dari ajaran Islam yang sebenarnya.Wahai adik-adikku,perkasakan dirimu...

Friday, April 9, 2010

Ke mana dikau mahu pergi wahai remaja...


Remaja oh remaja. Itulah keluhan hatiku bila aku melihat gelagat remaja masa kini. Tengahari tadi aku baru sahaja selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Damansara Damai. Damai hatiku terasa bilamana telah selesai menunaikan kewajipan. Namun,masih teringat lagi bila aku ingin menuju ke masjid, aku lihat pelajar-pelajar lelaki sekolah yang lengkap berpakaian sekolah tetapi masih 'lepak' di tepi jalan sedangkan azan untuk solat Jumaat telah dikumandangkan. Adakah mereka tidak menunaikan solat Jumaat,detik hatiku. Namun,itulah realiti remaja masa kini. Jika hendak disalahkan ibu bapa mereka dalam hal ini,mungkin ibu bapa mereka dah 'berbuih' mulut menasihati mereka.Inikah remaja yang akan mewarisi generasi akan datang?

Oh,sedih rasa dihati ini bila mengenangkan semua ini.Bagaimana lagi caranya untuk mengajak mereka untuk turut sama ke jalan yang benar.

Wednesday, April 7, 2010

Tak nak belajar?


Petang itu aku baru sahaja selesai mandi dan kemas diri. Terasa panas badan petang itu dan aku perlu mandi untuk mendapatkan kesegaran untuk aku teruskan urusan harianku. Tiba-tiba telefon bimbitku berdering. Aku lihat nombor telefon yang tertera pada telefonku, tiada nama yang keluar, mungkin orang luar. Aku terus mengangkat telefonku, “Hello, assalamualaikum, ni ustaz arif ke?”,soal orang yang menelefonku,”Waalaikummussalam, ye saya, siapa yang bercakap?” soalku kepadanya,”Ana Taufiq, guru kaunseling sekolah yang anta buat program untuk pelajar disini tahun lepas, masih ingat?” soalnya,”Oh, Taufiq apa khabar, ada apa cerita?” soalku dengan penuh perhatian,”Ana nak jemput anta bagi ceramah pada budak Melayu kat sekolah ana, budak-budak Form 3 dan Form 5 tentang motivasi belajar. Budak-budak ni belum nampak persediaan nak hadai peperiksaan lagi, jadi ana cadang pada pihak sekolah untuk jemput anta bagi ceramah dalam bulan 5 ni,macam mana, anta boleh ke?” soal dia padaku untuk dapatkaan kepastian. Aku berfikir sejenak mengingati tarikh yang dicadangkan, dan aku cuba berikan jawapan,”Insyallah, setakat ni ana rasa boleh,”aku cuba berikan kepastian,dan dia bertanya satu perkara yang aku tidak dapat pastikan,”Biasanya berapa bayaran yang anta kenakan untuk sejam ceramah?” satu soalan yang memang sukar untuk dijawab, al-maklumla aku bukan golongan professional,lantas aku berikan jawapan,” Ana tak pasti bab-bab harga ni, tak biasa, lagi-lagi waktu tu waktu pejabat”. Dia terus mencelah,”Biasanya pihak sekolah bagi pada penceramah dalam RM120 je pada penceramah, itu je budjet yang sekolah ada”, jawapan yang bersahaja daripada dia.

Termenung seketika bila dia memberikan jawapan seperti itu. Jika nak diikutkan, bayaran seperti itu hanya cukup untuk isi minyak dan aku pula perlu berikan pada syarikat disebabkan aku telah menggunakan waktu pejabat untuk program dan bukan program syarikat. Jadi, aku takkan dapat apa-apa habuan daripada bayaran yang diberikan. Namun, aku cuba berfikiran positif dan menetapkan niat kerana Allah, aku ingin berkongsi sesuatu dengan anak bangsaku, dan aku tidak mahu melihat anak bangsaku keciciran dalam pembelajaran, dan yang penting aku tidak mahu lihat generasi pelapis pada masa akan datang terlalu goyah dan tidak layak untuk memimpin. Terus aku berikan jawapan spontan kepada dia,”Em, rasanya insyallah tiada masalah”, dia berkata lagi,”Kalau boleh anta ‘basuh’ sikit diaorang ni, ana nak diaorang ada kesedaran untuk belajar, kalau boleh anta buat sampai diaorang menangis lagi bagus, biar diorang ada kesedaran nak berubah,”aku menjawab,”Insyallah ana cuba mana yang termampu,”,terus Taufiq guru kaunseling sekolah itu ‘confirm’ dengan aku untuk mengisi program tersebut.

Selepas daripada panggilan tersebut, aku duduk sebentar di jendela bilikku melihat suasana tenang dinihari. Terlihat anak-anak kecil bermain dengan penuh keriangan bersama rakan-rakan sebaya. Teringat aku dikala aku seusia mereka, aku juga seperti mereka, seronok bermain dan terkadang dimarahi oleh ibu kerana bermain sehingga lewat malam. Lantas timbul dibenakku persoalan-persoalan ringkas tetapi bermakna, adakah mereka anak-anak kecil memikirkan masa hadapan mereka? Adakah mereka merancang untuk hari dewasa mereka nanti? Adakah mereka sentiasa risau tentang masalah semasa sekarang yang saban hari semakin banyak masalah yang berlaku? Ah, mana mungkin mereka sekecil itu telah mampu untuk berfikir seperti sedemikian, kerana usia mereka dalam lingkungan 7 tahun itu masih keanak-anakan, masih belum mampu untuk merancang masa hadapan. Terus aku teringat perbualan aku dengan Taufiq guru kaunseling tadi menyatakan pelajar Melayu tingkatan 3 dan tingkatan 5 di sekolahnya masih belum nampak usaha untuk memajukan diri mereka. Aku termenung seketika, mengenang memori silam ketika mana aku seusia mereka. Waktu itu, semangat aku untuk belajar begitu tinggi dan alhamdulillah aku mendapat keputusan yang membanggakan sekaligus menggembirakan hati ibu dan ayahku. Mungkin disebabkan aku mempunyai rakan-rakan yang semangat untuk belajar menyebabkan aku juga mempunyai semangat yang sama untuk belajar. Mungkin juga disebabkan dorongan oleh ibu bapaku untuk aku terus belajar bersungguh-sungguh dan menjadi contoh kepada adik-adikku yang masih kecil. Bagiku, semua itu hanya dorongan luar sahaja, apa yang penting aku yang ingin Berjaya, itu yang lebih penting. Teringat aku pada satu modul Fitrah Perkasa mengenai ‘Kesedaran Untuk Merubah’ iaitu menerangkan bagaimana cara untuk merubah sikap. Aku cuba mengingati semula kata kunci yang biasa digunakan oleh Ustaz Pahrol dan ustaz-ustaz lain semasa menyampaikan kuliah. Mungkin modul ini sesuai untuk dijadikan asas kepada penyampaianku nanti apabila aku berdepan dengan pelajar-pelajar yang kurang minat belajar. Namun, aku juga rasa sangsi

Salah siapa?


Hujan gerimis pada malam itu mendinginkan suasana malam. Terasa nyaman dan selesa dek hembusan bayu malam membuai suasana. Kerlipan bintang di langit menyerikan lagi suasana malam. Terkadang terdengar bunyi derikan cengkerik memeriahkan suasana malam. Sempat aku malam itu menyelak sehelai demi sehelai suratkhabar metro sekadar mengetahui informasi semasa. Mataku melirik kepada satu berita yang telah menimbulkan persoalan di mindaku. Berita yang memaparkan bagaimana seorang remaja yang merajuk lari dari rumah akibat dimarahi oleh ibunya. Aku terus termenung seketika memikirkan satu permasalahan yang telah berlaku kepada generasi muda masa kini. Aku bertanya pada diriku, kenapa mudah sangat remaja pada hari ini melakukan sesuatu perkara tanpa memikirkan akibatnya? Kadang-kadang aku bingung dengan permasalahan remaja masa kini kerana bila aku mengenang kembali saat aku remaja dahulu, tidak pernah dipaparkan di dada-dada akhbar berita sebegini. Adakah disebabkan dunia sekarang sudah semakin maju dan moden menyebabkan remaja masakini terlalu mudah melakukan kesilapan? Atau mungkinkah remaja masa kini terlalu dimanjakan oleh ibu bapa mereka menyebabkan mereka terlalu manja dan mudah terguris dan terus melakukan tindakan yang tidak sepatutnya? Persoalan demi persoalan terus menerjah ke ruang pemikiranku menyebabkan aku terus berfikir mencari jawapannya. Lama aku merenung memikirkannya, namun belum mendapat jawapannya. Mungkin aku terlalu muda atau ‘tidak matang’ lagi dalam persoalan-persoalan sebegini dek kerana kata-kata orang tua, ‘tak banyak makan garam’. Namun bagiku, bukan persoalan siapa yang banyak makan garam, dialah yang lebih banyak pengalaman hidup, tetapi ialah siapa yang melihat kehidupan ini dengan matahati, dialah yang melihat hakikat sebenar kehidupan.

Pernah aku terdengar satu ungkapan daripada para cerdik pandai yang menyatakan, “Who U are determine how u see, and how u see determine what u get”.Siapa kamu menentukan bagaimana cara kamu melihat, dan bagaimana kamu melihat menentukan apa yang kamu dapat. Satu ungkapan yang ringkas tetapi cukup memberikan makna yang besar kepadaku. Aku cuba kaitkan ungkapan tersebut dengan permasalahan yang dipaparkan oleh akhbar sebentar tadi.

Aku cuba melihat permasalahan ini melalui pandangan matahatiku. Apabila aku melihat permasalahan ini melalui pandangan matahati, maka aku telah mendapat jawapannya. Semuanya harus kembali kepada fitrah atau bahasa mudah ‘back to basic’ . Permasalahan yang berlaku perlu melihat kepada punca masalah tersebut atau istilah yang selalu digunakan oleh guruku Ustaz Pahrol Mohd Juoi, kita perlu lihat kepada ‘real problem’ bukannya ‘presenting problem’. Lihat kepada yang tersirat bukannya kepada yang tersurat. Aku cuba kaitkan persoalan ini dengan satu firman Allah s.w.t ‘Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada suatu kaum sehingga kaum itu mengubah apa yang ada pada dirinya’ ,surah Ar-Raad,11. Apa yang ada pada dirinya? Ya, yang ada pada diri manusia ialah hati, akal dan nafsu. Hati bertindak sebagai raja, manakala akal bertindak sebagai penasihat dan nafsu sebagai penjahat dalam diri. Antara ketiga-tiga elemen yang ada pada diri manusia, hati adalah yang paling penting sekali bagi seseorang manusia untuk membuat keputusan. Namun, jika akal yang bertindak sebagai penasihat tidak memainkan peranan yang baik lalu menasihati kea rah kejahatan, maka hati akan mengikut nasihat akal tersebut. Berbalik kepada masalah remaja yang lari dari rumah tadi, siapakah yang membuat keputusan untuk dia lari dari rumah? Sudah tentu kita katakan remaja tersebutlah yang membuat keputusan. Namun disebalik yang tersurat, perkara yang tersiratnya ialah hatinya yang membuat keputusan tersebut, adakah telah tepat keputusan yang dibuat oleh remaja tersebut? Sudah tentu kita katakan keputusan yan diambil tidak tepat. Jadi, mengapa remaja tersebut membuat keputusan yang tidak tepat? Ini adalah kerana hati remaja tersebut telah sakit atau telah diserang virus. Analogi sebuah komputer yang mempunyai hardware dan software,kita katakan bahawa komputer tersebut telah diserang oleh virus, maka virus akan menyerang bahagian software komputer tersebut. Begitu juga manusia, software manusia ialah 3 elemen utama iaitu hati, akal dan nafsu, manakala hardwarenya ialah bahagian fizikal luaran manusia. Cara mudah bagi kita untuk ‘membunuh’ virus tersebut adalah dengan cara ‘format’ keseluruhan komputer tersebut dan ‘install’ software yang baru ke dalam komputer tersebut. Persoalannya, bagaimana kita ingin mengaplikasikannya kepada manusia? Adakah dengan mudah kita boleh ‘format’ manusia tersebut dan isi dengan software yang baru? Ya, ada jawapan yang baik untuk menjawab persoalan ini.

Manusia boleh di’format’ semula dengan cara kita ‘mencelikkan mata hati’ mereka. Inilah kunci utama kepada permasalahan yang berlaku iaitu kita tidak perlu mencari kesalahan tersebut tetapi kita mencari penyelesaiannya. Kita tidak perlu menuding jari menyalahkan mana-mana pihak apabila berlaku sesuatu masalah. Persoalannya, bagaimana caranya untuk kita celikkan mata hati? Inilah persoalan yang jarang dipandang oleh mana-mana pihak samada ibu bapa, masyarakat mahupun pemimpin masyarakat. Jika kita katakan tubuh memerlukan makanan, maka hati juga perlukan makanan. Jika tubuh manusia memerlukan makanan semuanya berpunca daripada tanah, maka makanan bagi hati semuanya dari nur Ilahi kerana asal hati atau roh manusia adalah daripada Allah s.w.t, jadi makanannya semuanya datang dari Allah s.w.t.

Hati juga memerlukan makanan seperti ikan yang memerlukan air untuk terus hidup. Hati memerlukan siraman zikrullah (mengingati Allah) yang akan menyuburkan hati tersebut, dan apabila hati tersebut telah subur kepada Allah, maka ia akan dapat mencelikkan matahati individu tersebut. Namun, sekiranya hati tersebut gersang daripada zikrullah, maka lama kelamaan hati tersebut akan mati. Aku tinggalkan dahulu persoalan bagaimana untuk mencelikkan mata hati ini pada keesokan hari kerana mataku telah terasa mengantuk ditambah lagi dengan suasana dingin malam yang mengamit diriku untuk dibuai mimpi. Semoga aku mendapat jawapan dan mimpi yang baik bagaimana untuk mencelikkan mata hati agar segala persoalan remaja masa kini dapat diselesaikan, amin.

Saturday, April 3, 2010

Remaja Oh Remaja...


Bila sebut perkataan 'remaja', terkenang aku kepada zaman remaja yang penuh dengan pahit manis kehidupan. Tika itu, aku masih belum mengenal erti kehidupan yang sebenar. Segala apa yang aku lakukan semuanya kerana ingin mengejar cita-citaku yang menggunung tinggi, ibarat kata orang tua 'darah muda', semuanya aku lakukan dengan penuh semangat. Kadang-kadang, aku tak pernah memikirkan akan akibat yang akan aku hadapi bilamana tidak memikirkan baik buruknya sesuatu perkara. Pernah juga tikamana aku di zaman persekolahan aku telah dirotan oleh ayahku akibat daripada tindakanku yang tidak memberitahu ayahku bilamana aku membuat keputusan. Tika itu, aku menerima hukuman tersebut dengan rela walaupun aku merasakan kesakitannya,namun jauh di sudut hatiku, aku tidak menyimpan dendam kepada ayahku.

Tetapi kini, bilamana aku telah dewasa dan mengenal erti kehidupan, aku cuba menoleh semula ke zaman remajaku, terasa indah dan manisnya zaman remajaku. Satu perkara yang aku tidak dapat lupakan ialah bilamana saat aku dirotan oleh ayahku. Aku amat berterima kasih atas tindakan ayahku itu dan aku merasakan sekiranya ayahku tidak menambil tindakan tersebut, mungkin aku tidak seperti sekarang yang lebih dewasa mendepani kehidupan.

Namun, hatiku sekali lagi diketuk oleh seribu satu persoalan yang menghantui diriku. Mengapa remaja masakini terlalu mudah terpesong arah? Adakah akibat daripada kurangnya pengetahuan mereka? Adakah ibu bapa mereka tidak cukup berikan didikan kepada mereka? Persoalan yang cukup merunsingkan bukan sahaja diriku tetapi juga menjadi satu persoalan yang besar kepada negara. Pernah satu masa aku menemui sekumpulan remaja yang sedang 'lepak' di stesen minyak di kerusi rehat. Aku lihat ada dikalangan mereka sedang menghisap rokok yang mana pada aku remaja seusia tersebut tidak patut terlibat dengan gejala tersebut. Aku cuba lalu berhampiran remaja tersebut dan cuba mendengar perbualan mereka, terdengar aku akan perbualan mereka..."Malam ni nak lepak mana bro?..."Mana lagi tempat biasa la"..."Ala, takde tempat lain ke, boringla", panjang perbualan mereka namun aku terus berlalu dari tempat mereka. Terus aku masuk ke dalam kereta sambil terus memerhatikan gelagat mereka. Aku terfikir sebentar, inikah remaja pada masa sekarang? Mengapa mereka mudah sahaja keluar lepas waktu magrib, adakah ibu bapa mereka tidak menghiraukan mereka? Terimbau zaman silamku, sewaktu aku remaja. Tatkala itu, aku memang tidak keluar malam kerna sibuk menyiapkan kerja sekolah dan mentelaah pelajaran. Ibu bapaku sentiasa mengawasi setiap gerak-geriku kerna tidak mahu melihat aku gagal dalam hidupku. Tapi aku pelik dan hairan, ke mana ibu bapa mereka? Adakah ibu bapa mereka tidak tahu ke mana anak-anak mereka pergi dan dengan siapa mereka berkawan? Ah, pening kepalaku memikirkannya...inilah dikatakan remaja akhir zaman....